another.chapter.of.life

ISLAM

An-Nur: Kiamat Sudah Dekat
(dipetik dari myMetro)

“SESUNGGUHNYA hari kiamat itu sangat dahsyat. Pada hari itu, setiap ibu lupa pada anaknya, perempuan yang hamil gugur anaknya, engkau lihat manusia dalam keadaan mabuk, bukan kerana mabuk minuman keras, melainkan kerana seksaan Allah yang sangat pedih.” (al-Haj: 1 — 2)

Begitulah ngerinya kiamat apabila malaikat Israfil meniupkan Sangkakala, sejenis alat tiupan berbentuk sebatang tanduk sangat besar dengan lingkungan yang boleh memuatkan seluas lapangan langit dan bumi. (Abu Hurairah)
Soalnya, sejauh mana kita bersedia menghadapi hari Sangkakala ditiup? Sejak sekian lama hidup di dunia, manusia kian lupa pada janji Allah bahawa kiamat itu satu kepastian.

Banyak umat Islam terus lalai dengan urusan harian seperti mengumpul harta kekayaan, seronok dengan keluarga dan asyik bergelumang dosa.

Kita semakin lupa dengan peringatan Allah: “Masa kiamat ialah masa harta benda dan anak seseorang tidak akan memberi manfaat kepadanya, jika dia menghadap Tuhan dengan hati yang tidak bersih daripada kufur dan syirik.

“Walaupun harta benda itu dibelanjakan pada jalan kebajikan dan anak diberikan didikan agama serta berakhlak yang mulia hingga menjadi anak yang soleh.” (al-Syu’ara’: 88 — 89)

Allah juga menjanjikan bahawa: “Masa kiamat itu ialah masa di mana setiap orang melarikan diri daripada saudara, ibu bapa, isteri dan anaknya, kerana masing-masing terlalu sibuk dengan hal keselamatan diri sendiri, tidak ada masa lagi hendak mengambil tahu perihal orang lain, walaupun mereka sangat rapat, mulia dan sangat dikasihinya.” (Abasa: 34 — 37).

Percaya kepada kiamat adalah rukun iman dan ia pasti datang. Walaupun kita tidak diberi tarikh tepat bila kiamat akan berlaku, janji Allah pasti ditunaikan.

Oleh itu, sesekali ketika sibuk di pejabat, keluar bersama rakan atau berehat di rumah dengan anak dan suami atau isteri, ingatkan diri dan orang sekeliling bahawa kiamat sudah dekat.

Mungkin ingatan itu akan menyedarkan betapa selama ini kita sudah lama lalai dengan dunia.

Tiga Cahaya Di Hari Kiamat

Di hari kiamat ada tiga cahaya yang berlainan :

* Cahaya yang pertama seperti bintang-bintang.

* Cahaya yang kedua seperti cahaya bulan.

* Cahaya yang ketiga seperti cahaya matahari.

Apabila ditanya cahaya apakah ini ? Lalu dijawab :

“Cahaya yang pertama ialah cahaya wajah-wajah manusia yang ketika di dunia, mereka akan meninggalkan pekerjaan dan terus bersuci dan mengambil air sembahyang apabila terdengar azan.

Yang kedua ialah cahaya wajah mereka yang mengambil air sembahyang sebelum azan.

Cahaya yang ketiga ialah cahaya mereka seperti matahari. Mereka di dunia sudah bersiap sedia di dalam masjid sebelum azan lagi.”

Kala Jengking Neraka

Di hari kiamat akankeluar seekor binatang dari neraka jahanam yang bernama “Huraisy” berasal dari anak kala jengking.

Besarnya Huraisy ini dari timur hingga ke barat.Panjangnya pula seperti jarak langit dan bumi.Malaikat Jibril bertanya : “Hai Huraisy! Engkau hendak ke mana dan siapa yang kau cari?”

Huraisy pun menjawab,

“Aku mahu mencari limaorang.

Pertama, orang yang meninggalkan sembahyang.

Kedua, orang yang tidak mahu keluarkan zakat.

Ketiga, orang yang derhaka kepada ibubapanya.

Keempat, orang yang bercakap tentang dunia di dalam masjid.

Kelima, orang yang suka minum arak.”

Simpanlah baik2 amanat ini dan sebagai peringatan kita setiap hari.Sampaikan kepada sekelian muslimin/muslimat yang lain semoga menjadi pedoman hidup hingga keakhir hayat , Insya’Allah.
Ayat ALLAH untuk mengelak kecelakaan

Oleh: ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM

Menjelang mana-mana hari perayaan utama di Malaysia, pihak kerajaan akan bertungkus lumus untuk mengurangkan jumlah kemalangan yang bakal berlaku kerana sebarang kemalangan maut sudah pasti akan merugikan keluarga apatah lagi negara.

Mungkin yang mati itu merupakan permata yang amat berharga untuk membawa kemajuan negara ke satu tahap yang tertentu.

Untuk itu, oleh kerana majoriti rakyat Malaysia yang akan pulang berhari raya nanti terdiri daripada umat Islam, adalah dicadangkan agar pihak kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan dan semua syarikat lebuh raya menggunakan ayat-ayat al-Quran yang terpilih sebagai cara untuk mengingatkan para pemandu tentang kepentingan menjaga keselamatan di jalan raya.

Umat Islam yang mempercayai keunggulan al-Quran sudah pasti akan terkesan dengan mesej yang cuba Allah sampaikan kepada mereka di sepanjang perjalanan mereka semasa balik kampung.

Ayat-ayat tersebut boleh ditulis dengan besar, jelas bersama-sama dengan terjemahannya sekali, lalu diletakkan pada papan tanda di sepanjang jalan raya utama seluruh negara. Kalau perlu ayat-ayat tersebut diletakkan pada tempat-tempat yang mempunyai kadar kemalangan yang tinggi di seluruh Malaysia.

Selain itu, pihak lebuh raya juga boleh menyebarkan risalah-risalah kecil yang mempunyai pesanan Allah itu kepada para pemandu yang melepasi plaza-plaza tol utama.

Di antara ayat-ayat yang boleh dicadangkan ialah;

1- Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (al-Baqarah: 195)

2- Setiap jiwa akan merasai kematian (Ali ‘Imran:185, al-Anbiya’:35, al-`Ankabut:57)

3-Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: “Ini adalah dari sisi Allah”, dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: “Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah”. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)? (al-Nisa’: 78)

4- Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri, sesungguhnya Allah amat Pengasih kepadamu (al-Nisa’: 29)

5-Katakanlah: Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) – yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya. (al-An’am:151)

6- Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar (al-Isra’: 33)

7-Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar. (al-Baqarah: 153)

8- Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. (Al-Ra’d: 24)

Dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran sebagai perantara peringatan kepada para pemandu yang pulang berhari raya, insya-Allah sedikit sebanyak kadar kemalangan dapat dikurangkan.

Ini kerana keberkatan yang terkandung pada al-Quran itu sendiri yang sememangnya berfungsi untuk membimbing manusia di dalam semua aspek kehidupan mereka.

Tambahan pula kaedah ini juga akan menjadi serampang dua sebagai peringatan untuk umat Islam juga alat dakwah kepada pengguna jalan raya yang bukan beragama Islam.

- ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ ialah Pensyarah Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Terapi Puasa

Oleh ROHIDZIR RAIS

Sebagai Pencipta manusia, jasad dan roh, Allah s.w.t. pasti lebih tahu apa yang baik untuk manusia. Kewajipan puasa tidak hanya bertujuan merawat jiwa manusia dalam ketaatan dan kepatuhannya kepada Allah tetapi juga sebagai terapi tahunan untuk tubuh manusia.

Ini jelas dilihat dalam surah al-Baqarah ayat 184 bermaksud: Berpuasa itu lebih baik bagi kamu, kalau kamu mengetahui.

Puasa telah sedia dikenali sebagai satu rawatan semula jadi untuk pelbagai jenis penyakit sejak beribu-ribu tahun dahulu. Ramai pakar perubatan kuno berpuasa dan menyarankan pesakit-pesakitnya agar berpuasa sebagai satu kaedah rawatan. Contohnya, Ibnu Sina, pakar perubatan Islam, menyifatkan puasa sebagai rawatan untuk pelbagai jenis penyakit.

Malah doktor-doktor Islam kini mengakui puasa boleh mengubati penyakit cacar dan sifilis. Napoleon ketika menawan Mesir, mengamalkan terapi puasa untuk mengawal penyakit berjangkit. Dr. Fredrick Hoffman, dari Universiti Moscow pada 1769 menasihatkan pesakit-pesakitnya agar berpuasa ketika sakit. Menurut beliau, puasa memberikan masa untuk perut berehat dan memberikan ruang untuk tubuh mengembalikan kekuatan.

Allah sendiri menjelaskan bahawa puasa yang diwajibkan ke atas kita ini telahpun diamalkan oleh umat-umat sebelum ini. Firman-Nya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Pada kurun ke-19, Zeland, seorang pakar perubatan Rusia, mengumumkan bahawa puasa memberi kesan positif kepada urat saraf, sistem penghadaman dan darah. Katanya lagi, puasa memberikan masa yang cukup untuk tubuh berehat, di samping beroleh kekuatan baru.

Sebenarnya hakikat puasa sebagai terapi melawan penyakit bukan sesuatu yang baru. Rasulullah yang hidup pada zaman gelap sains, mengakui bahawa puasa adalah senjata untuk melawan penyakit. Sabda baginda, “Puasa adalah senjata untuk mempertahankan diri”. (riwayat Imam Ahmad)

Pakar-pakar moden kini mengesahkan bahawa setiap orang perlu berpuasa, sama ada orang itu sihat, apatah lagi jika sakit. Pelbagai racun memasuki tubuh sepanjang hidup kita, melalui makanan dan minuman moden yang tidak sihat dan sarat dengan bahan kimia dan udara yang tercemar.

Tubuh tidak mampu menyingkirkan semua racun ini dan menyebabkan manusia semakin lemah. Puasa dapat memberi ruang dan kesempatan untuk sel-sel tubuh membersihkan diri mereka daripada racun-racun ini dengan lebih berkesan. Berbeza dengan amalan diet biasa, kaedah puasa Ramadan adalah yang terbaik kerana dilakukan dengan sistematik setiap tahun.

Walaupun keberkesanan terapi puasa terhadap tubuh telah diakui tetapi perkara paling menakjubkan ialah kemampuannya untuk merawat masalah psikologi yang kritikal. Puasa memberi masa untuk sel-sel otak berehat dan pada masa sama, bertindak membersihkan sel-sel darah daripada toksik. Darah bersih yang memasuki otak ini akan turut sama membersihkannya.

Hasilnya, orang yang berpuasa mempunyai otak yang lebih kuat dan cerdas untuk berfikir. Ini dibuktikan apabila Pengarah Institut Pesakit Mental Moscow, Dr. Yuri Nikolayev, merawat 7,000 pesakit mental dengan menggunakan terapi puasa, setelah semua kaedah dan ubat-ubatan lain tidak berkesan. Menakjubkan rawatan ini berjaya!

Bagaimanapun, terdapat beberapa keadaan yang tidak membenarkan mereka yang mempunyai masalah psikologi berpuasa seperti pesakit yang menderita epilepsi (sawan) yang disebabkan oleh kekurangan kandungan gula dalam darah kerana memerlukan pengambilan ubat sepanjang Ramadan.

Begitu juga dengan pesakit skizofrenia, menggunakan ubat yang menyebabkan mulut kering dan dahaga.

Pengguna Lithium juga tidak boleh berpuasa kerana kekurangan air di dalam badan boleh menyebabkan kepekatan darah dan menukarkan dadah menjadi racun.

Kebanyakan doktor menyarankan agar pesakit diabetes jenis 2 agar tidak berpuasa kerana memudaratkan. Tetapi, Dr. Riyadh Sulaimani dan rakan-rakannya di Kuliah Perubatan Hospital al-Malik Khaled al-Jami’, pada 1990, telah menjalankan kajian tentang kesan puasa Ramadan kepada pesakit diabetes jenis 2.

Seramai 47 orang pesakit diabetes jenis 2 yang terlibat dalam kajian ini telah berpuasa dan didapati tidak terdapat kesan yang memudaratkan kepada mereka dari segi berat badan dan kandungan gula dalam badan.

Bagaimanapun, mereka ini sebaiknya mendapatkan nasihat doktor sebelum berpuasa. Pesakit yang bergantung pada suntikan insulin, tidak disarankan berpuasa kerana mereka perlu makan setengah jam selepas suntikan. Namun begitu pesakit yang menggunakan ubat-ubatan, mungkin boleh mengambil manfaat daripada puasa terutama mereka yang mengalami berat badan berlebihan.

Puasa boleh membantu anda kekal muda remaja! Sekurang-kurangnya itulah yang di dakwa oleh Dr. Masora EJ dari Fakulti Psikologi Universiti Texas, yang mengkaji kaitan puasa dengan faktor panjang umur dan awet muda. Dengan mengurangkan 50-70 peratus makanan yang diberikan kepada beberapa ekor tikus, didapati ia membantu memanjangkan jangka hayat mereka serta dapat mencegah penyakit-penyakit yang berkaitan dengan usia.

Terapi yang dinamakan sebagai Antiaging Action of Caloric Restriction (CR) ini berkesan kerana pembersihan berterusan sel-sel tubuh melalui puasa dapat memanjangkan umur sel dan melambatkan proses penuaan.

Selain itu, keperluan badan terhadap protein juga menurun dan ini membolehkan sel-sel berehat dengan baik. Puasa juga dapat memperbaharui sel-sel dengan cara yang selamat.

Benarlah seperti yang disabdakan Baginda, nabi yang ummi yang tidak mengenal huruf, bahawa puasa adalah senjata untuk mempertahankan diri. Ini kerana, ketika puasa menyebabkan perubahan hormon di dalam badan.

Kajian Dr. Kernt et. al, telah mengesan perubahan dalam pengeluaran Hormon Pembesaran (Growth Hormone) oleh kelenjar pituari dalam tubuh orang yang berpuasa. Ini memberikan kesan positif dalam menguatkan sistem imuniti tubuh. Seperti yang kita tahu, sistem imuniti adalah ‘senjata’ mempertahankan diri daripada serangan luar. Dengan semua nikmat ini, bulan Ramadan layak dinobatkan sebagai Bulan Kesihatan Sedunia!

Maha Suci Allah yang telah menganugerahkan nikmat Ramadan ini. Kita berpuasa kerana Allah, begitu juga dengan semua ibadat lain. Kerana ketaatan ini, kita menerima kebaikan di dunia dan di akhirat berupa kesihatan yang baik. Sedangkan pada masa yang sama orang bukan Islam berhempas pulas mengkaji tentang puasa, nikmat yang telah lama kita kecapi.

* ROHIDZIR RAIS ialah Editor di Telaga Biru Sdn. Bhd.

10 jenis solat tidak diterima

RASULULLAH bersabda bermaksud: “Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu sebagai cahaya baginya, petunjuk dan jalan selamat, dan barang siapa yang tidak memelihara solat, maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya, dan tidak juga menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya.”

Rasulullah bersabda: “10 orang solatnya tidak diterima oleh Allah, antaranya:

  1. Orang lelaki solat sendirian tanpa membaca sesuatu.
  2. Orang lelaki mengerjakan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat.
  3. Orang lelaki menjadi imam, padahal orang menjadi makmum membencinya.
  4. Orang lelaki melarikan diri.
  5. Orang lelaki minum arak tanpa mahu meninggalkannya (taubat).
  6. Orang perempuan yang suaminya marah kepadanya.
  7. Orang perempuan yang mengerjakan solat tanpa memakai tudung.
  8. Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim menganiaya.
  9. Orang suka makan riba.
  10. Orang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Barang siapa solatnya itu tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah dan jauh dari Allah.”

Hassan berkata: “Kalau solat kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang tidak mengerjakan solat. Dan pada hari kiamat nanti solatmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal buruk.”

Maksud hadis Rasulullah “Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya.” Kita disarankan supaya mendiamkan diri, jangan berkata apa-apa pun ketika azan berkumandang.
Bila Al-Qur’an mula berbicara

Waktu engkau masih kanak-kanak………….
kau laksana kawan sejatiku
Dengan wudu’, ku disentuh
dalam keadaan suci ku dipegang
ku dijunjung dan kau pelajari
ku dibaca dengan suara lirih atau pun keras setiap hari
Setelah selesai engkau menciumku mesra

Sekarang engkau telah dewasa…………..
Nampaknya kau sudah tak berminat lagi padaku…
Apakah aku bahan bacaan usang yang tinggal sejarah…?
Menurutmu, mungkin aku bahan bacaan yang tidak menambah pengetahuanmu
Atau, menurutmu aku hanya untuk anak kecil yang belajar mengaji…….
Sekarang aku tersimpan rapi sekali;
sehingga engkau lupa di mana ku tersimpan
ku dianggap hanya sebagai pengisi setormu.

Kadang kala ku dijadikan mas kawin agar engkau dianggap bertaqwa
Atau kau buat penangkal untuk menakuti iblis dan syaitan
Kini aku lebih banyak tersingkir, dibiarkan dalam kesendirian , kesepian.
Di dalam almari, di dalam laci, ku di pendamkan.
Dulu…pagi-pagi… surah-surah yang ada padaku engkau baca beberapa halaman.
Di waktu petang, ku dibaca beramai-ramai bersama temanmu di surau…..

Sekarang…seawal pagi sambil minum kopi… engkau baca suratkhabar terlebih dahulu
Waktu lapang engkau membaca buku karangan manusia
Sedangkan aku yang berisi ayat-ayat yang datang dari Allah Azzawajalla engkau abaikan dan engkau lupakan…

Waktu berangkat kerja pun kadang engkau lupa baca pembuka surah2ku (Bismillah).
Di dalam perjalanan engkau lebih asyik menikmati musik duniawi
Tidak ada kaset yang berisi ayat Allah yang terdapat di dalam keretamu
Sepanjang perjalanan, radiomu selalu tertuju ke stasyen radio kesukaanmu
Mengasyikkan…

Di meja kerjamu tiada aku untuk dibaca sebelum kau mulai kerja
Di Komputermu pun kau putar musik favorite mu
Jarang sekali engkau putarkan ayat-ayatku………

E-mail temanmu yang ada ayat-ayatku pun kau abaikan
Engkau terlalu sibuk dengan urusan dunia mu
Benarlah dugaanku bahawa engkau kini sudah benar-benar hampir melupaiku

Bila malam tiba engkau tahan bersekang mata berjam-jam di depan TV.
Menonton siaran televisyen
Di depan komputer berjam-jam engkau betah duduk
Hanya sekedar membaca berita murahan dan gambar sampah
Waktupun cepat berlalu………
Aku semakin kusam dalam laci-laci mu
Mengumpul debu atau mungkin dimakan hama

Seingatku, hanya awal Ramadhan engkau membacaku kembali
Itupun hanya beberapa lembar dariku.
Dengan suara dan lafadz yang tidak semerdu dulu
Engkau pun kini terangkak-rangkak ketika membacaku
Atau waktu kematian saudara atau taulan mu

Bila engkau di kubur sendirian menunggu sampai kiamat tiba
Engkau akan diperiksa oleh para malaikat suruhanNya
Apakah TV, radio, hiburan atau komputer dapat menolong mu?
Yang pasti ayat-ayat Allah s.w.t yang ada padaku menolong mu
Itu janji Tuhanmu, Allah s.w.t

Sekarang engkau begitu enteng membuang waktumu…
Setiap saat berlalu…
Dan akhirnya…..
kubur yang setia menunggu mu………..
Engkau pasti kembali, kembali kepada Tuhanmu

Jika aku engkau baca selalu dan engkau hayati…
Di kuburmu nanti….
Aku akan datang sebagai pemuda gagah nan tampan.
Yang akan membantu engkau membela diri
Dalam perjalanan ke alam akhirat.
Dan Akulah “Al-Qur’an”, kitab sucimu
Yang senantiasa setia menemani dan melindungimu.

Peganglah aku kembali.. .. bacalah aku kembali saya setiap hari.
Karena ayat-ayat yang ada padaku adalah ayat-ayat suci.
Yang berasal dari Allah Azzawajalla
Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah
Yang disampaikan oleh Jibril melalui Rasulmu
Keluarkanlah segera aku dari almari dan lacimu…….
Letakkan aku selalu di depan meja kerjamu.
Agar engkau senantiasa mengingat Tuhanmu.
Sentuhilah aku kembali…

Baca dan pelajari lagi aku…
Setiap datangnya pagi, petang dan malam hari walau secebis ayat
Seperti dulu…. Waktu engkau masih kecil
Di surau kecil kampungmu yang damai
Jangan engkau biarkan ku sendiri….
Dalam bisu dan sepi….

Sifat sombong boleh matikan cahaya Iman

Oleh Lokman Ismail

BERSYUKUR satu sifat terpuji yang sentiasa diamalkan insan yang benar-benar beriman dan bertakwa kepada Allah supaya mendapat keredaa-Nya. Orang yang bersyukur mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Sememangnya kehidupan kita tidak statik sepanjang masa. Setiap masa sentiasa ada perubahan sama ada menjadi lebih baik mahupun lebih buruk sebagai satu roda kehidupan yang mesti dihadapi.

Sudah menjadi lumrah ada yang dulunya miskin menjadi kaya, yang rendah pangkat menjadi tinggi jawatannya. Sebelumnya tidak dikenali, sekarang amat terkenal, disanjung dan dihormati.

Kekayaan dan kedudukan baik yang diperoleh itu harus dikongsi dengan orang lain sebagai tanda bersyukur. Sesungguhnya, manusia yang lebih baik ialah manusia yang lebih banyak memberi manfaat kepada manusia lain.

Satu sifat berbahaya yang selalu menjangkiti orang yang kedudukannya lebih baik berbanding orang lain ialah lupa diri. Sikap itu sering kali mendorong seseorang bertindak melakukan kejahatan kerana berasakan dirinya ‘berhak’ melakukan apa yang diingini.

Sikap lupa diri dan tidak bersyukur menjadi punca kedurhakaan iblis kepada Allah. Iblis berasakan dirinya lebih layak untuk dilantik menjadi khalifah berbanding Adam memandangkan dirinya dicipta daripada api dan sudah banyak melakukan kebaikan.

Iblis lupa hakikat dirinya yang sebenarnya hanyalah hamba. Dia tidak bersyukur dengan kedudukan dan keistimewaan yang Allah kurniakan kepadanya. Maka jadilah iblis sebagai hamba yang ingkar dan tergolong sebagai dilaknati selama-lamanya.

Untuk mengelak diri menjadi kufur dan ingkar kepada Allah, berpeganglah kepada prinsip sentiasa bersyukur dengan apa yang diperoleh dan dinikmati. Sikap itu akan memacu diri sentiasa tenang dan menerima segala ketentuan Allah tanpa sebarang perasaan syak wasangka kepada-Nya.

Namun, sikap bersyukur tidak pula bermakna kita berserah sepenuhnya kepada nasib tanpa melakukan apa-apa usaha. Hidup di dunia ini satu ladang untuk mencari bekal kehidupan di akhirat yang mana kita mesti melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa ditegah.

Sesungguhnya, setiap apa yang kita harapkan tidak semestinya tercapai. Banyak kegagalan dan keadaan buruk terpaksa pula dihadapi dengan sikap sabar dan tidak mudah berputus asa. Kita perlu bersyukur kerana masih ada peluang untuk terus berusaha mencapai apa yang dihajati.

Setiap Muslim mesti berusaha mengubah hidupnya menjadi lebih baik. Nasib buruk tidak akan bertukar menjadi baik jika tidak berusaha mengubahnya.

Allah mengangkat darjat orang yang berilmu, berharta dan berkuasa melebihi orang kebanyakan jika mereka sentiasa bersyukur. Namun, darjat itu kembali ke taraf paling rendah jika dirinya sombong tidak mahu menggunakan kelebihan itu untuk memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.

Apa guna memiliki kekayaan jika tidak mahu digunakan. Sifat bakhil dan sombong menjadi penjara yang menghalangnya menikmati kekayaan dimiliki. Malah, hidupnya menjadi lebih tertekan kerana takut harta itu berkurangan atau digunakan oleh orang lain.

Begitu juga, orang yang berilmu, tetapi menyembunyikan ilmu itu daripada disebarkan kepada orang lain sebenarnya hidup dalam kegelapan. Sifat ilmu, semakin digunakan semakin bertambah keberkatannya. Orang berilmu mendapat kebaikan jika ia turut dikongsikan dengan orang lain.

Individu yang dikurniakan kelebihan sama ada kekayaan, jawatan, kuasa dan kecantikan mestilah menghindarkan diri daripada sifat sombong yang mendatangkan banyak keburukan. Perasaan sombong menjadi penyakit hati yang mematikan iman sehingga hidup menjadi sesat tanpa cahaya keimanan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya sifat sombong sekalipun hanya seberat debu. Lalu seorang sahabat bertanya: “Sesungguhnya ada orang yang suka pakaian dan kasutnya cantik. Rasulullah SAW menjawab dengan sabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu indah dan suka kepada keindahan. Sombong itu adalah menolak yang hak dan menghina orang lain.” – (Hadis riwayat Muslim)

Bagi memastikan kehidupan manusia sentiasa terhindar sifat sombong dan lupa diri, memerlukan satu kekuatan yang memacukan sifat bersyukur di dalam diri. Orang yang bersyukur merasakan setiap kelebihan dimiliki olehnya hanyalah satu ujian daripada Allah.

Allah memberi peringatan supaya manusia bersyukur kerana dengan itu Dia akan melipatgandakan lagi nikmat yang diberikan. Sebaliknya, jika kufur akan nikmat yang dianugerahkan, kerugian besarlah bakal menimpa.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” – (Surah Ibrahim, ayat 7)

Anakku…

Seorang pemuda yang sedang berada di tahun akhir pengajiannya mengharapkan sebuah kereta sport daripada ayahnya…lantas, si pemuda memberitahu hajatnya kepada ayahnya, seorang hartawan yang ternama…si ayah hanya tersenyum… si anak bertambah yakin, andai keputusan peperiksaannya begitu cemerlang, pasti kereta itu akan menjadi miliknya..

Beberapa bulan berlalu…ternyata si anak, dengan berkat kesungguhannya. .telah beroleh kejayaan yang cukup cemerlang..hatinya berbunga keriangan… satu hari…si ayah memanggil si anak ke bilik bacaannya..si ayah memuji anaknya…sambil menyatakan betapa bangga hati seorang bapa sepertinya dgn kejayaan si anak yang cukup cemerlang… si anak tersenyum puas…di ruang matanya terbayang kilauan kereta sport merah yang selama ini menjadi idamannya itu…

Si ayah yang bagaikan mengerti kehendak si anak, menghulurkan sebuah kotak yang berbungkus rapi dan cantik…si anak terkesima… sungguh.. .bukan itu yg kuhajatkan.. .
dengan hati yang berat…kotak itu bertukar tangan…matanya terarah kepada riak wajah ayahnya…yg tidak menunjukkan sebarang perubahan; seolah2 tidak dapat membaca tanda tanya yang bersarang dihatinya… .

Dalam pada itu, si anak masih membuka pembalut yang membungkus kotak itu…penutup kotak dibuka…apa makna semua ini???..sebuah Al-Quran kecil; comel dgn cover kulit..tinta emas menghiasi tulisan khat di muka hadapan…si anak memandang ayahnya…terasa dirinya dipermainkan. ..amarahnya membuak…nafsu mudanya bergelojak.. . ayah sengaja mempermainkan saya…ayah bukannya x tahu betapa saya menyukai kereta tu…bukannya ayah x mampu utk membelikannya. .. sudah ayah…bukan al-Quran ni yang saya nak…katanya keras…

al-quran itu dihempaskan keatas meja bacaan…si anak terus meninggalkan si ayah..tanpa memberi walau sesa’at utk si ayah bersuara…pakaiann ya disumbatkan ke dalam beg..lantas, dia meninggalkan banglo mewah ayahnya…memulakan kehidupan baru dengan sekeping ijazah yg dimilikinya. …

10 tahun berlalu..si anak kini merupakan seorang yang berharta…punyai syarikat sendiri…dengan isteri yg cantik dan anak-anak yang sihat…cukup membahagiakan. ..namun hatinya tersentuh… Sudah 10 tahun..sejak peristiwa itu dia tidak pernah menjenguk ayahnya…sedang dia berkira2 sendiri…telefonny a berdering… dari peguam ayahnya…ayahnya meninggal dunia semalam…dengan mewariskan semua hartanya kepada si anak…si anak diminta pulang untuk menyelesaikan segala yg berkaitan perwarisan harta…

Dan buat pertama kalinya setelah dia bergelar bapa…si anak pulang ke banglo ayahnya…memerhati kan banglo yg menyimpan 1001 nostalgia dlm hidupnya…hatinya sebak..bertambah sebak apabila mendapati diatas meja di bilik bacaannya… Al-quran yang di hempaskannya masih lagi setia berada di situ…bagaikan setianya hati ayahnya mengharapkan kepulangannya selama ini…perlahan2 langkahnya menuju ke situ…mengambil al-quran itu..membelek2- nya dengan penuh keharuan…tiba- tiba…jatuh sesuatu dari Al-quran itu…segugus kunci…di muka belakang Al-quran itu…sebuah sampul surat ternyata diselotepkan disitu…

Kunci itu segera dipungut…hatinya tertanya-tanya. ..nyata sekali…di dalam sampul surat itu…terdapat resit pembelian kereta idamannya… dibeli pada hari konvokesyennya. .. Dengan bayaran yg telah dilunaskan oleh si ayah…sepucuk warkah..tulisan tangan org yg amat dikenalinya selama ini..hadiah teristimewa utk putera kesayanganku. …air mata si anak menitis deras…hatinya bagai ditusuk sembilu..penyesalan mula bertandang.. .

Namun semuanya sudah terlambat… Sekadar renungan bersama: berapa banyak kita melupakan nikmat Allah, hanya semata-mata kerana nikmat itu tidak “dibungkus”, didatangkan atau diberi dalam keadaan yg kita hajati??

Buat renungan kiter bersamer…

1 Response to "ISLAM"

Leave a Reply

Indahnye~


Life is too short to wake up in the morning with regrets, So love the people who treat you right, Forget about the ones who don't, And believe that everything happens for a reason. If you get a chance, take it. If it changes your life, let it. Nobody said life would be easy, They just promised it would be worth living.

Ingatlah, hanya dengan mengingati ALLAH, hati menjadi tenteram.

"Ya ALLAH, jika aku jatuh cinta, cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya padaMu agar bertambah kekuatan ku untuk mencintaiMu"

Bertambah luas akal, bertambah luas lah hidup, bertambah datang lah bahagia. Bertambah sempit akal, bertambah sempit lah hidup, bertambah datang lah celaka. -Hamka -

Yang paling bahagia adalah orang yang mempunyai hati yang alim, mempunyai kesabaran dalam diri dan mempunyai sifat yang merasa cukup dengan rezeki yang ada. -Hukamak-

Blog Stats

  • 14,270 hits